KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal mengadakan Konvensyen GPS pada 19 April depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, konvensyen tersebut merupakan pertama kali diadakan selepas penubuhan GPS pada 2019.
Sehubungan itu katanya, sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi mengendalikan konvensyen tersebut yang akan disertai kesemua empat parti komponen GPS – Parti PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) GPS, Datuk Amar Douglas Uggah, katanya.
“Cadangan mengadakan konvensyen tersebut dikemukakan Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Ini kerana GPS diwajibkan bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) GPS yang dipengerusikan Premier di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako di sini, hari ini.
Alexander berkata, bagaimanapun, jumlah perwakilan masih belum ditetapkan.
Manakala, tema konvensyen berfokus kepada pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030).
