BELAGA: Sarawak Multimedia Authority (SMA) memperluaskan projek jalur lebar berkelajuan tinggi di Sungai Asap di sini.
Projek merupakan pelengkap kepada inisiatif Perkampungan Digital Sungai Asap yang memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penduduk di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, projek berharga sekurang-kurangnya RM37 juta itu melibatkan penggunaan 140 kilometer (km) gentian optik dan sebuah menara telekomunikasi di 28 tapak.
Katanya, projek juga memberi manfaat kepada sebanyak 15 rumah panjang kaum Kenyah, Kayan, Lahanan, Seping, Ukit dan Penan.
“Selain itu, projek ini memberi manfaat kepada tujuh agensi Kerajaan, tiga sekolah dan dua rumah ibadat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis Penutupan Sesi Libat Urus Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi – Perkampungan Digital Sungai Asap di Dewan Komuniti, di sini, hari ini.
Menurut Liwan, projek ini juga memanfaatkan laluan atau Right of Way (ROW) Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam mempercepatkan lagi penyediaan jalur lebar berkelajuan tinggi yang berpatutan kepada komuniti luar bandar.
“Akses ini amat penting bagi memperkukuhkan sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, tadbir urus dan perdagangan digital selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak,” tegasnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon Timbalan Pengurus Besar SMA)Ts. Dr. Suhaila Jaffar dan Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA, Jafer Sadig Abdul Lathiff.
