SEMATAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkasakan sokongan psikososial komuniti menerusi Program Mindness Tour Kaunseling Kasih PSSS ‘Kamek Nengar Kamek Nulong’ yang berlangsung di Surau An-Nur, Kampung Terusan Jaya, hari ini.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperkenalkan perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) kepada masyarakat, khususnya dalam aspek kesejahteraan mental dan emosi.
Menurut beliau, PSSS menawarkan pelbagai aktiviti psikososial yang dikendalikan oleh kaunselor berdaftar, merangkumi kaunseling serta khidmat nasihat kepada individu dan keluarga yang memerlukan bantuan.
Nancy sehubungan itu menggalakkan penduduk luar bandar supaya tidak mengabaikan kesihatan mental dan mengambil peluang mendapatkan khidmat kaunseling bagi membantu menangani tekanan harian.
“Kesejahteraan mental perlu diberi keutamaan seiring dengan penjagaan kesihatan fizikal dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa merasmikan program berkenaan di Surau An-Nur, Kampung Terusan Jaya, Sematan, hari ini.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, Tagline ‘Kamek Nengar, Kamek Nulong’ memperlihatkan pendekatan kementerian untuk mendengar dengan empati dan membantu dengan penuh keprihatinan.
Program tersebut turut melibatkan khidmat komuniti Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Selain fokus kepada aspek sosial, beliau turut memaklumkan usaha penambahbaikan infrastruktur di kawasan tersebut, termasuk kerja-kerja baik pulih jeti nelayan yang telah dilaksanakan pada tahun 2024 bagi kegunaan aktiviti ekonomi dan pelancongan.
Nancy mengumumkan kelulusan peruntukan bagi kerja-kerja naik taraf dan baik pulih Surau An-Nur bagi memberikan lebih keselesaan kepada para jemaah dan penduduk kampung.
Beliau turut meluluskan sumbangan tunai berjumlah RM10,000 kepada pihak pengurusan surau serta menyerahkan Kotak Kit Jenazah sebagai persediaan asas bagi melancarkan urusan fardu kifayah di kampung berkenaan.
Nancy sehubungan itu merakamkan penghargaan kepada YKN dan penduduk kampung yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong mengecat surau, sambil berharap usaha kolektif tersebut membawa manfaat berpanjangan kepada komuniti.
