KUALA LUMPUR: Perasmian Menara AFFIN di Tun Razak Exchange (TRX) hari ini menandakan pengukuhan kehadiran Sarawak dalam pusat kewangan utama negara, sekaligus memperlihatkan langkah negeri itu memperluas pengaruh institusi kewangan tempatan di peringkat nasional dan serantau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembukaan menara itu memberi peluang kepada institusi kewangan Sarawak untuk mempertingkatkan tahap pengurusan dan kecekapan operasi melalui pusat korporat yang lebih moden dan teratur.
Beliau menjelaskan, dalam era transformasi ekonomi yang bergerak pantas, institusi kewangan perlu melaksanakan perubahan yang lebih besar dan berani bagi menyesuaikan diri dengan cabaran masa kini, termasuk melalui penggunaan sistem teknologi yang lebih maju dan proses keputusan yang lebih cepat.
“Perubahan kecil tidak lagi memadai. Kita perlu membuat lompatan besar dalam membina keupayaan agar dapat bergerak seiring dengan perkembangan global,” katanya pada majlis perasmian menara tersebut disini, petang tadi.
Abang Johari berkata, lokasi menara AFFIN di TRX juga membantu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan serantau dengan menarik pelaburan, memperkasa bakat profesional serta mempercepatkan urusan kewangan di peringkat nasional dan serantau.
Beliau turut menyifatkan kehadiran institusi Sarawak di TRX sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang negeri untuk menyokong pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif.
Sebagai permulaan, Lembaga Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak telah membuka pejabatnya di Kuala Lumpur di menara tersebut dan diharapkan institusi lain akan mengikuti langkah sama.
“Ini adalah tanda bahawa Sarawak melihat TRX sebagai platform penting dan membuktikan aspirasi negeri ini sudah berada di tahap nasional dan serantau,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari menyatakan keyakinan terhadap prestasi AFFIN apabila institusi itu mengekalkan penarafan kredit antarabangsa A3 oleh Moody’s serta berjaya menerbitkan bon dolar AS pertama bernilai AS$300 juta.
Beliau berkata, kejayaan itu memberi keyakinan kepada pelabur serta menyokong perniagaan, termasuk di Sarawak, yang memerlukan rakan kewangan kukuh.
Beliau juga menyambut baik peningkatan penarafan kemampanan AFFIN dalam FTSE4Good daripada tiga bintang kepada empat bintang, yang mencerminkan prestasi dan komitmen institusi itu dalam aspek kelestarian.
Hadir sama ialah Pengerusi Affin Bank Berhad, Datuk Agil Natt, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah, Setiausaha Kewangan Sarawak, Datuk Seri Dr. Wan Lizozman Wan Omar.
