Masyarakat Cina tonggak pembangunan ekonomi

KUCHING: Sumbangan masyarakat Cina dalam bidang perniagaan, pendidikan dan kepimpinan akan terus mengukuhkan daya tahan dan kemajuan Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, masyarakat Cina di negeri ini sejak sekian lama merupakan sebahagian dariapda tunggak pembangunan ekonomi, sosial dan budaya di Sarawak.

“Belanjawan negeri Sarawak 2026 mencerminkan komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkongsi kemakmur dengan memperuntukkan RM9.3 bilion yang fokus kepada luar bandar,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menegaskan, untuk meringankan kos sara hidup rakyat, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM640 juta untuk Sumbangan Keperluan Asas (SKAS) 2026 yang memberi manfaat kepada keluarga, warga emas dan individu bujang.

Sarawak, katanya, terus berada di hadapan dalam menyedia pendidikan pengajian tinggi percuma termasuk pengajian STEM di lima universiti milik Sarawak kerana percaya rakyat adalah asset terbesar Sarawak.

Menurut Uggah, perayaan Tahun Baharu Cina di Sarawak sekali lagi mencerminkan kekuatan perpaduan dalam pelbagaian.

Melalui rumah terbuka dan berkongsi perayaan, katanya, ia mengeratkan lagi ikatan perpaduan yang sedia terjalin sebagai suatu keluarga.

Tahun Kuda melambangkan kekuatan, keberanian dan keyakinan yang dijadikan asas untuk Sarawak mencapai tranformasi.

Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, pemimpin untuk semua kaum, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Uggah mengajak rakyat Sarawak bersama-sama bergerak ke hadapan sejajar dengan semangat Kuda yang berdaya tahan dan berpandang jauh.

Beliau menggesa rakyat supaya bersatupadu dan bekerjasama untuk menjayakan Strategi Pembangunan Pasca Covis-19 (PCDS) 2030 dan membina Sarawak sebuah wilayah makmur, inklusif dan kelestarian alam sekitar.