Sumbangan bakul makanan KSK Satok ceriakan penerima

KUCHING: Seramai 80 penerima di 16 ranting Cawangan N.8 Satok menerima sumbangan bakul makanan dan bubur lambuk menerusi Program Sumbangan Bakul Makanan yang berlangsung di Kelab Sukan Komuniti Satok (KSK Satok), hari ini.

Penerima terdiri daripada warga emas, golongan kelainan upaya (OKU) dan asnaf menerima sumbangan berupa makanan, kurma, bubur lambuk dan duit Raya.

Majlis penyerahan dilakukan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Datuk Ibrahim Baki sambil diiringi Timbalan KSK Satok, Kaunselor Iskandar Shakawi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Mohamad Feisal Said.

Program yang dahulu dikenali Program Singgah Sahur itu dianjurkan bersama KSK Satok dengan kerjasama Pusat Khidmat N8 Satok dan LAKMNS.

Ibrahim Baki ketika bercakap kepada media berkata, tahun ini merupakan tahun kelima penganjuran program tersebut pada setiap bulan Ramadan.

Katanya, sumbangan itu membantu meringankan beban golongan sasar untuk meraikan hari lebaran nanti.

“Kesinambungan ini membuktikan komitmen berterusan kita dalam menjaga kebajikan warga Satok,” katanya.