SIMANGGANG: Tradisi ‘seperah’ yang menjadi kebanggaan penduduk Kampung Tanjung Engkabang terus mekar sejak 26 tahun lalu, menyatukan komuniti setiap kali Ramadan menjelma.
Amalan unik itu menyaksikan setiap rumah membawa juadah masing-masing untuk dikongsi bersama dalam majlis berbuka puasa beramai-ramai, sekali gus menghidupkan suasana penuh muafakat dan kebersamaan.
Ketua Kaum Kampung Tanjung Engkabang, Mohamad Yusop berkata, tradisi tersebut mula diamalkan sejak tahun 2000 dan kekal menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan penduduk.
Menurutnya, tujuan utama penganjuran bagi mengeratkan silaturahim serta memperkukuh ukhuwah dalam kalangan masyarakat kampung tanpa mengira usia.
“Alhamdulillah, amalan ini masih kekal hingga kini hasil sokongan padu semua penduduk yang sentiasa komited menjayakan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Majlis berbuka puasa dan tahlil anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Engkabang itu turut diserikan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Dayang Noorazah berharap budaya seperah ini terus dipelihara agar tidak hilang ditelan arus pemodenan, sebaliknya diwarisi generasi muda sebagai lambang perpaduan masyarakat.
