PKPS agih bubur pedas sempena Ramadan

KUCHING: Persatuan Ko-ordinasi Pelancongan Satok (PKPS) menganjurkan Program Agihan Bubur Pedas PKPS 2026 di TEKO Cafe, Kpg. Bandarsah di sini, semalam.

Program julung kali dilaksanakan PKPS sebagai usaha menghidupkan suasana Ramadan selain mempromosikan Bubur Pedas S’wak sebagai juadah popular rakyat Sarawak ketika Ramadan.

Pengerusi PKPS, Shah Iszhan Isnin, berkata program juga mempunyai nilai sentimental dan sebagai tanda memperingati Timbalan Pengerusi PKPS Allahyarham Naz-Ismadiee Khalit yang meninggal dunia, baru-baru ini.

“Agihan Bubur Pedas diadakan di lokasi kediaman asal kelahiran Allahyarham,” katanya.

Sebanyak 200 pek bubur pedas yang menjadi menu warisan Sarawak diagih kepada masyarakat sekitar.

Shah berkata, inisiatif ini menjadi simbol penghargaan dan kenangan atas jasa serta sumbangan beliau dalam persatuan selama ini.