LAWAS: Persatuan Tarik Tali Sarawak (PTTS) akan mengadakan tiga kejohanan besar dalam kalendar sukan tarik tali di Sarawak tahun ini.
Penasihat PTTS, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa berkata, kejohanan tersebut ialah Piala Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Lawas diikuti Piala Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah di zon tengah.
“Kejohanan antarabangsa bagi merebut Piala Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berlangsung di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa PTTS yang juga dihadiri Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pegawai Tadbir Khas Timbalan Premier Sarawak, Ahmad Materal, barisan exco Saberkas Cawangan Bukit Sari dan Cawangan Ba’kelalan, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Awangku Jinal harap kerjasama dan sokongan padu semua ahli dan barisan exco PTTS diketuai Presiden PTTS Steve Lius dan timbalannya Mohd Nazmi Tengah bagi memantapkan segala aktiviti dirancang persatuan.
