DARO: Seramai 300 asnaf dari 15 kampung kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro menerima sumbangan sempena Majlis Santunan Asnaf Ramadan Al-Mubarak 1447H di Masjid Al-Muhsiniin di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, program berkenaan merupakan usaha berterusan bagi menjaga kebajikan golongan asnaf, khususnya membantu mereka membuat Ramadan.
“Bulan Ramadan mengajar kita erti kesabaran, keinsafan dan keprihatinan terhadap golongan kurang berkemampuan. Justeru, menjadi tanggungjawab kita memastikan golongan asnaf tidak terpinggir dan turut merasai keberkatan serta kegembiraan dalam menjalani ibadah puasa,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Safiee yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro (LAKMD), berkata, program berkenaan merupakan usaha berterusan bagi menjaga kebajikan golongan asnaf.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja menyediakan bantuan keperluan asas, malah memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan tunai dan buah kurma kepada penerima selain pek beras lima kilogram hasil sumbangan Daro Freshmart Prosper Sdn Bhd bagi membantu menampung keperluan harian sepanjang Ramadan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan tazkirah bertajuk “Ramadan Membina Kekuatan Ummah” yang disampaikan Pegawai Agama Islam Daerah Daro, Al-Fadhil Ustaz Anas Sarip.
