Kerjasama masyarakat Cina jayakan program perpaduan Sadong Jaya

SADONG JAYA: Masyarakat Cina memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial serta perpaduan bagi kawasan Sadong Jaya.

Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Sarawak merangkap ADUN Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata ramai masyarakat itu terlibat dalam sektor perniagaan, pertanian, peruncitan dan perkhidmatan yang menjadi nadi ekonomi tempatan.

“Usaha mereka bukan sahaja menjana ekonomi, malah menyediakan peluang pekerjaan dan kemudahan kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis program “Gong Xi Fa Cai & Sungkey” di Dewan Warisan Sadong Jaya di sini, semalam.

Aidel Lariwoo berkata, mereka juga aktif dalam persatuan, aktiviti kebajikan dan program kemasyarakatan serta sentiasa bekerjasama menjayakan program perpaduan termasuk program itu bagi sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan diraikan serentak.