KUCHING: Mufti Sarawak yang baharu, Datu Khalidi Ibrahim akan meneruskan agenda yang dilaksanakan mantan Mufti Datu Kipli Yasin.
Beliau turut menyatakan komitmen akan terus menerajui kepimpinan di institusi Fatwa Sarawak dan memohon doa semua agar beliau mampu menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab sepanjang tempoh beliau berkhidmat.
Ia demi memastikan peranan institusi tersebut kekal relevan serta dihormati oleh masyarakat dan menzahirkan terima kasih kepada pimpinan Sarawak kerana melantik beliau untuk mengalas tanggungjawab ini.
“Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada pimpinan Kerajaan Sarawak terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Premier Sarawak dan seluruh pimpinan atas kepercayaan untuk saya memimpin institusi yang berprestij ini,” katanya sebaik saja ditemui media selepasa majlis serah terima tugas Mufti Sarawak di Dewan Kompleks Islam di Kuching hari ini.
Majlis serah terima tugas Mufti Sarawak antara Datu Kipli Yasin dan Datu Khalidi Ibrahim disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak (MIS) Mual Suaud.
