Loji Rawatan Air Ulu Sebangan siap Julai depan

SEBUYAU: Loji rawatan air baharu di Ulu Sebangan dijangka siap pada Julai depan bagi memastikan bekalan air lebih stabil kepada penduduk Sebuyau dan Bahagian Samarahan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek berkapasiti lima juta liter sehari (MLD) itu berfungsi sebagai sumber ‘backup’ kepada loji rawatan air Batu Kitang, Kuching yang kini menjadi pembekal utama kawasan berkenaan.

“Kerja pembinaan loji Ulu Sebangan bermula November lalu dan dijangka siap Julai depan. Apabila siap, kita ada sumber alternatif selain dari Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Ziarah Ramadan dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) di Masjid Darul Aman Sebangan, di sini, hari ini.

Julaihi turut memaklumkan cadangan pembinaan loji rawatan air berskala lebih besar berkapasiti 40 MLD di Sebuyau sedang diperhalusi sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani kekangan sumber air mentah di Samarahan.

Dalam majlis berkenaan, MUT Dan SDEC menyantuni seramai 60 asnaf dari Kampung Menek, Kampung Lutong dan Kampung Arus Melayu yang menerima bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan.

Selain itu, 30 kanak-kanak juga menerima sumbangan bersempena Hari Raya yang bakal tiba.

Program tahunan MUT dengan kolaborasi agensi-agensi di bawah atau berkaitan dengan kementerian itu bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, malah mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

Hadir sama Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengarah Bekalan Pengedaran Gas Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Kasvenda Kassim, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Head Corporate Communications & Public Relations SDEC Agnes Nyelang, Pegawai Tadbir Khas IRSDA Anuar Daan serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Aman Sebangan Yaman Madian.