LINGGA: Seramai 100 penerima terdiri daripada asnaf dan keluarga memerlukan menerima bakul makanan serta beras menerusi Program SABERKAS Prihatin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, inisiatif berkenaan memperlihatkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian.
Sebanyak 100 beg beras merupakan sumbangan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), manakala bakul makanan pula diagihkan melalui inisiatif Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Prihatin Cawangan Lingga, katanya.
Pengagihan bantuan dilaksanakan di enam lokasi iaitu Sri Aman, Lingga, Agropolitan Seduku, Skait, Stumbin dan Tanjung Bijat.
Dayang Noorazah bersama beberapa ahli SABERKAS Cawangan Lingga turut turun padang menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan kepada masyarakat.
