KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyantuni 16 anak yatim piatu serta anak-anak istimewa dari Pusat Kebajikan Jumaani dalam Majlis Berbuka Puasa dan Solat Berjemaah bersama Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, malam ini.
Sumbangan disampaikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap golongan yang memerlukan.
Kehadiran Premier Sarawak juga menyerlahkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam mendekati rakyat serta memperkukuh nilai kebajikan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, Premier Sarawak bersama dif-dif kenamaan menunaikan solat Maghrib.
Usai majlis penyampaian sumbangan, mereka menunaikan solat Isyak dan diteruskan ke solat sunat Tarawih sebelum mengakhiri majlis dengan jamuan moreh.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain.
