Sarawak berpegang kepada prinsip

KUCHING: Sarawak sentiasa berpegang kepada prinsip kerjasama serta menghormati kerangka Persekutuan Malaysia, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak berkata, dakwaan kononnya blok Borneo berhasrat menguasai Semenanjung Malaysia adalah tidak berasas dan tersasar daripada realiti sebenar.

Tuduhan tersebut tidak mencerminkan pendirian negeri itu, sebaliknya hanya persepsi yang ditimbulkan tanpa asas kukuh, katanya ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, yang mendakwa blok Borneo berhasrat mengawal Semenanjung Malaysia, di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.

Sesetengah ahli politik gemar memainkan isu sensitif semata-mata mahu meraih perhatian selepas tidak lagi menonjol dalam arena politik, katanya.

Abdul Karim menambah, apa yang diperjuangkan Sarawak hanyalah perkongsian hasil yang lebih adil, khususnya melibatkan sumber minyak dan gas, selaras dengan semangat serta sejarah pembentukan Malaysia.