20 ahli MACMA terima sumbangan zakat Ramadan

BINTULU: Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Bintulu akan terus berusaha menyantuni komuniti Cina Muslim di sini melalui program kebajikan.

Pengerusi MACMA Cawangan Bintulu, Norhayati Abdullah berkata, antaranya program sumbangan zakat Ramadan yang membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.

“Saya berharap sumbangan yang disampaikan dapat membantu penerima menyambut Ramadan dan Syawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan zakat Ramadan kepada seramai 20 ahli persatuan terbabit dalam Majlis Berbuka Puasa dan sambutan Chap Goh Mei di sini, malam tadi.

Menurutnya, majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk menyalurkan bantuan, malah turut mengeratkan hubungan antara komuniti melalui aktiviti berbuka puasa secara bersama.