Program saringan perkembangan manfaatkan 1,800 kanak-kanak prasekolah

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan RM1.9 juta bagi melaksanakan program saringan perkembangan digital dan intervensi awal kanak-kanak di prasekolah SeDidik.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata program ini juga membantu peralihan kanak-kanak dari Pusat Intervensi Awal Kanak-Kanak Sarawak (OSEIC)ke tadika aliran perdana, dengan tiga kanak-kanak berjaya melakukannya pada 2025.

‘’Program saringan dijangka memberi manfaat kepada 1,800 kanak-kanak dan meningkatkan kemahiran 140 guru melalui latihan khusus, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu penilaian pakar yang terhad.

‘’Inisiatif ini turut menerima sokongan antarabangsa berjumlah RM389,546 daripada beberapa organisasi, termasuk The Nippon Foundation dan Walton Family Foundation,’’ katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa OSEIC 2026 di sini, hari ini.

Katanya, kerjasama diperkuat melalui pemeteraian MoA bersama Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata, bagi memperkasakan pembangunan kanak-kanak di Sarawak.

Fatimah menambah, program ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030, menumpukan kepada kesejahteraan generasi masa depan selain pembangunan ekonomi.