KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap konflik yang berlaku di Timur Tengah tidak berpanjangan.
Beliau berkata, jika konflik yang sedang melanda Timur Tengah itu berpanjangan memberi kesan terhadap industri pelancongan Sarawak termasuk penganjuran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) yang dijadual berlangsung pada Jun ini.
“Semua pihak mengharapkan keamanan dan tidak mahu melihat sebarang konflik atau huru-hara berlaku,” katanya pada sidang media Lan Berambeh Sungkei Belia 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, setiap negara perlu mengutamakan hubungan yang aman dan saling menghormati demi memastikan kestabilan serta kesejahteraan masyarakat global.
Sarawak menerima jumlah pelancong yang tinggi dari negara Eropah seperti Jerman dan United Kingdom yang merupakan antara penyumbang utama kehadiran pelancong ke negeri ini, katanya.
Beliau menambah, jika konflik ini berlanjutan dalam tempoh yang lama, ia akan memberi kesan termasuk terhadap festival muzik itu pada Jun nanti.
“Kemungkinan ramai yang akan membatalkan perjalanan kerana bulan Jun sudah semakin hampir,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan, kumpulan nasyid popular Rabani dijangka memeriahkan Juh Berambeh Sungkei @ Kuching 2026 yang akan berlangsung di Padang Merdeka pada 14 Mac ini.
Katanya, program tersebut dijangka menghimpunkan masyarakat dalam suasana berbuka puasa yang penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan.
Katanya, pihak penganjur juga membuka peluang kepada restoran serta orang ramai yang ingin menyumbang pek makanan kepada pengunjung program tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,500 pek bubur lambuk akan diagihkan kepada orang ramai sempena program itu yang akan diadakan di Kompleks Sukan Asajaya, Samarahan pada 7 Mac ini.
