KUCHING: Insentif RM700 yang diumumkan Kerajaan Sarawak sebelum ini digunakan sebagai formula bagi menentukan jumlah sumbangan yang akan disalurkan kepada persatuan media, bukannya diberikan secara individu kepada warga media.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, jumlah tersebut dijadikan asas pengiraan bagi menentukan nilai sumbangan kepada setiap persatuan media berdasarkan bilangan keahlian masing-masing.
Katanya, pendekatan tersebut diambil memandangkan warga media tidak berada di bawah skim perkhidmatan awam seperti penjawat awam yang menerima bantuan khas secara individu.
“Jumlah (RM700) itu bukan bantuan kepada setiap individu. Ia merupakan formula untuk menentukan jumlah sumbangan yang disalurkan kepada persatuan media berdasarkan bilangan ahli mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program Sentuhan Prihatin: Corporate Social Responsibility (CSR) anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Kuching di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Abdullah menambah, sumbangan tersebut bertujuan menyokong pelaksanaan aktiviti serta kebajikan ahli persatuan media, termasuk membantu mereka yang berdepan situasi kecemasan seperti kemalangan atau dimasukkan ke hospital.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut meneliti cadangan untuk mewujudkan sebuah ‘club house’ khusus bagi warga media sebagai ruang berkumpul serta menjalankan aktiviti profesional.
Bagaimanapun jelas beliau, cadangan tersebut masih di peringkat perancangan termasuk mengenal pasti lokasi yang sesuai serta menilai anggaran kos sebelum direalisasikan.
Beliau turut berharap sumbangan yang disalurkan kepada persatuan media dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkukuh kebajikan ahli selain menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti media.
Selain itu, beliau menggalakkan warga media untuk terus aktif dalam persatuan masing-masing agar usaha memperkasa kebajikan dan pembangunan profesional dapat dilaksanakan secara lebih tersusun pada masa hadapan.
