GEDONG: Masyarakat sekitar Kampung Lubuk Punggor harus memanfaatkan banyak projek pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan di kampung tersebut di sini.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, antara projek yang utama ialah naik taraf parit konkrit sepanjang 350 meter(m) membabitkan
peruntukan RM320,000.
Katanya, naik taraf parit itu bertujuan memperbaiki sistem saliran serta mengurangkan risiko banjir di kawasan kampung.
“Selain itu, projek pembinaan culvert di Anjung Selera Kampung Lubok Punggor juga dirancang bagi meningkatkan kemudahan serta keselamatan penduduk dan pengunjung di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Jalinan Kasih Ramadan 2026 Parlimen Batang Sadong di Masjid Hayatul Islam, Kampung Lubok Punggor, di sini, hari ini.
Seramai 44 penerima menerima sumbangan bakul makanan dan wang tunai.
Rodiyah turut mengagihkan bubur lambuk, mengagih apron kepada peniaga serta berbuka bersama komuniti.
Rodiyah berkata, projek lain ialah Rumah Usahawan Wanita Kampung Lubok Punggor Hulu yang kini hampir siap, baik pulih Taska Permata KEMAS, pembekalan peralatan dewan kampung, pembekalan kanopi untuk sekolah dan masjid, serta kerja baik pulih Masjid Hayatul Islam.
