Budayakan pengajian al-Quran sejak awal usia

SIMANGGANG: Peristiwa Nuzul al-Quran tidak seharusnya sekadar menjadi catatan sejarah dalam kalendar, sebaliknya wajib diangkat sebagai titik perubahan besar dalam membina tamadun Islam yang berpaksikan ilmu, akhlak, dan keadilan sejagat.

​Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Mual Suaud menegaskan bahawa kitab suci ini merupakan manual kehidupan menyeluruh, merangkumi aspek akidah sehingga muamalah, yang perlu diterjemahkan ke dalam tindakan realiti.

​Menurut beliau, cabaran kritikal umat masa kini bukan lagi setakat kelancaran membaca, tetapi sejauh mana masyarakat mampu membedah, memahami, dan menghayati setiap mesej wahyu dalam mendepani arus modenisasi.

​”Al-Quran perlu menjadi kompas utama dalam membuat keputusan, membina institusi keluarga, memimpin masyarakat, malah dalam urusan pentadbiran negeri,” katanya pada majlis penangguhan Seminar Nuzul al-Quran Peringkat Sarawak 1447H di SK Agama MIS Sri Aman, semalam.

​Beliau turut menggesa gerakan bersepadu antara ibu bapa dan institusi pendidikan untuk membudayakan pengajian al-Quran sejak awal usia bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja celik huruf, malah ‘celik jiwa’.

​Sinergi antara agensi agama dan masyarakat dilihat sebagai nadi utama dalam memastikan syiar Islam terus subur di bumi Sarawak, sekali gus membentuk komuniti yang berintegriti tinggi serta berilmu pengetahuan.

​Seminar padat ilmu itu berjaya menarik 210 peserta dengan pengisian daripada lima pakar, menyentuh topik kritikal seperti sejarah wahyu, teknik Waqaf Ibtida, serta bedah karya surah Al-Fatihah buat panduan harian.