SEBUYAU: Kerajaan Sarawak memperkukuh bekalan air di wilayah utara, termasuk Bintulu, Miri dan Limbang, melalui projek naik taraf loji rawatan dan pengembangan rangkaian paip bagi memastikan bekalan lebih stabil dan boleh dipercayai.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek ini sebahagian daripada usaha membangunkan sistem grid air bersepadu yang menghubungkan loji rawatan dan rangkaian paip di seluruh Sarawak.
Ini termasuk peningkatan kapasiti loji sedia ada dan pembinaan kemudahan baharu, katanya.
“Di Bintulu, Loji Rawatan Air Nyabau dinaik taraf daripada kapasiti 354 juta liter sehari (MLD) kepada 554 MLD, manakala pemasangan paip tambahan di Niah dan pembinaan loji baharu di Tubau turut dijalankan mengikut jadual.
“Di Limbang, Loji Rawatan Air Trusan turut dinaik taraf untuk memperkukuh pengagihan air,” katanya selepas merasmikan Program Ziarah Ramadan dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Dewan Pembangunan Sebuyau, semalam.
Julaihi menjelaskan, sistem grid bersepadu ini membolehkan air terawat diagihkan ke kawasan lebih luas, meningkatkan kebolehpercayaan dan kestabilan bekalan. Apabila siap sepenuhnya, ketiga-tiga wilayah utama Sarawak — utara, tengah dan selatan — akan menikmati bekalan air mencukupi dan konsisten.
Kesemua projek ini katanya adalah sebahagian daripada inisiatif RM4.6 bilion kerajaan negeri, yang merangkumi naik taraf loji, pembinaan kemudahan baharu dan pemasangan rangkaian paip di seluruh negeri.
