SKAS disalur sebelum Aidilfitri – Premier Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak meneruskan penyaluran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) tahun ini dengan bayaran dijangka dikreditkan kepada penerima yang layak sebelum sambutan Aidilfitri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penyaluran bantuan tersebut dilancarkan dalam bulan Ramadan ini bagi membolehkan rakyat Sarawak membuat persediaan menjelang perayaan.

“Jadi kita akan melancarkannya pada Ramadan ini menyaksikan penerima yang layak boleh membuat semakan di SarawakPay untuk melihat sama ada sumbangan itu telah dikreditkan oleh Kerajaan Sarawak untuk membantu penerima membeli barangan keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2026 di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.

Premier menambah, pelaksanaan SKAS mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya dalam membantu mereka mendapatkan barangan keperluan asas harian.

“Ini ada usaha bagi memastikan dapur mereka sentiasa ‘berasap’. Apabila kita mengamalkan dasar-dasar yang berteraskan kepentingan rakyat, ia akan memudahkan segala urusan harian kita,” katanya.

Pada tahun ini, Kerajaan Sarawak mengumumkan peningkatan kadar bantuan sebagai langkah memperkukuh jaringan keselamatan sosial negeri.

Kategori isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah kini menerima peningkatan bantuan daripada RM800 kepada RM950 setahun dengan setiap pembayaran berjumlah RM316.

Warga emas tanpa pasangan atau anak dengan pendapatan RM5,000 dan ke bawah pula menerima peningkatan daripada RM400 kepada RM500 setahun (RM166 setiap pembayaran), manakala individu bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah menikmati kenaikan daripada RM250 kepada RM300 setahun, bersamaan RM100 setiap pembayaran.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan-Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus dan Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak.