SRI AMAN: Penghayatan ilmu serta nilai integriti yang berpandukan ajaran Al-Quran merupakan asas penting dalam usaha memajukan dan mentransformasikan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan negeri tidak hanya bergantung kepada perancangan fizikal dan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan penghayatan ilmu serta nilai murni yang mampu membentuk masyarakat berintegriti dan berdaya saing.
“Negeri kita ini dalam proses transformasi yang mana kita nak membangunkan dalam peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Masjid Bahagian Sri Aman hari ini.
Hadir menyerikan sambutan tersebut, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Tambah Abang Johari, umat Islam di Sarawak perlu meneladani keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. yang dikenali sebagai Al-Amin sejak usia muda kerana sifat amanah, jujur dan berintegriti tinggi dalam menjalankan tanggungjawab.
Malah katanya, masyarakat Islam di Sarawak juga perlu mendalami ilmu dengan sebaiknya dalam usaha untuk mengubah dan memperbaiki masyarakat dalam usaha memperbaiki keadaan masing-masing.
Ia selaras dengan firman Allah bahawa sesuatu kaum tidak akan berubah nasibnya melainkan mereka sendiri berusaha mengubahnya.
“Bahkan di Simanggang ini, kita nak mengubah masjid itu lagi supaya diperelokkan lagi masjid ini dan memberi lambang kepada kekuatan dan juga kepakaran yang ada pada umat Islam.
“Alhamdulillah, depan masjid kita dah bangunkan Kompleks Baitulmal dan ini adalah usaha kita sendiri kerana apabila ekonomi kita kuat, mereka memberi zakat kepada kita, dan inilah sumber yang boleh memperkuatkan kita orang Islam,” jelas beliau.
Sambutan kali ini dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Sarip Adul dengan tajuk ‘Al-Quran Memartabatkan Ilmu, Melestarikan Alam’.
Usai tazkirah, Premier Sarawak menyampaikan amanatnya sebelum bacaan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 2026, Jubni Sulong.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri.
