Sarawak sasarkan status hab serantau, perkukuhkan hubungan dengan China

KUCHING: Sarawak mengalu-alukan pelaburan berkualiti yang menyokong agenda pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS-19) 2030, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Langkah itu bertujuan mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Beliau sehubungan itu, menegaskan bahawa Sarawak komited menyediakan ekosistem perniagaan kondusif melalui usaha berterusan memodenkan infrastruktur, termasuk rangkaian pengangkutan dan logistik, telekomunikasi serta utiliti.

“Salah satu kelebihan utama Sarawak ialah sumber tenaga boleh diperbaharui. Oleh itu, Sarawak menyasarkan untuk menjana 10 gigawatt (GW) tenaga menjelang tahun 2030 dan meletakkan dirinya sebagai ‘Bateri ASEAN’,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pengerusi Shandong Port Group, China, Wang Wei di sini, semalam.

Delegasi beliau terdiri daripada Naib Presiden Yatong Petrochemical Group, Yu Kechao,
Pengarah dan Pengurus Besar Tianye Corporation, Shan Dan serta pengurusan kanan lain daripada syarikat-syarikat tersebut.

Delegasi itu menyatakan minat untuk meneroka peluang pelaburan di Sarawak, khususnya dalam pembangunan dan pengurusan pelabuhan, serta dalam sektor petrokimia dan pertanian.

Semasa pertemuan tersebut, syarikat-syarikat China yang melawat itu mengetengahkan keupayaan mereka dalam perkhidmatan rantaian bekalan bersepadu, pembangunan pelabuhan pintar dan hijau, pergudangan komoditi, serta teknologi petrokimia dan pemprosesan agro yang maju.

Bidang-bidang ini mempunyai potensi besar untuk kerjasama strategik dengan Sarawak.

Awang Tengah yang juga Timbalan Premier yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menggalakkan delegasi tersebut untuk meneroka peluang pelaburan di Sarawak dengan memanfaatkan sumber semula jadi negeri itu, lokasi strategiknya serta akses kepada pasaran Asia Tenggara yang berkembang pesat dan rangkaian perdagangan global.

Beliau turut menekankan potensi Sarawak untuk menjadi hab serantau bagi keseluruhan rantaian nilai industri petrokimia dan makanan, khususnya dalam memenuhi permintaan pasaran halal yang semakin berkembang.

“Sarawak kekal komited untuk memudahkan pelabur melalui dasar yang telus serta pembangunan infrastruktur yang berterusan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan integrasi serantau,” katanya.