KUCHING: Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dengan kerjasama Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) meneruskan usaha murni mendekati dan menyantuni pesakit menerusi program Konvoi Program ‘Satu Juadah Seribu Keberkatan’.
Menerusi program kebajikan itu, komuniti terjejas dikenal pasti akan dibantu melalui sumbangan bantuan makanan serta sokongan akses kepada rawatan kesihatan.
Program diadakan sempena bulan Ramadan itu dilaksanakan melalui lawatan ke rumah penerima di sekitar Kuching termasuk di Batu Kawah bagi menyampaikan bantuan bakul makanan serta juadah berbuka kepada keluarga yang memerlukan.
Penaung Yayasan AIDS Borneo, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu berkata, masyarakat perlu memainkan peranan dalam menghapuskan stigma terhadap individu yang hidup dengan HIV.
“Pesakit HIV tidak seharusnya dipandang serong kerana dengan rawatan yang betul mereka mampu menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
“Apa yang penting adalah sokongan masyarakat supaya mereka tidak berasa terpinggir,” katanya ketika ditemui media semasa melawat salah sebuah rumah peserta program di Batu Kawah, di sini semalam.
Beliau menambah, kesedaran masyarakat mengenai HIV perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan golongan terjejas mendapat peluang yang sama dalam kehidupan termasuk dari segi pekerjaan dan penerimaan sosial.
Kenyataan tersebut turut disokong oleh Pengerusi Teratak Kasih Tok Nan, Dr Ruziana Miss yang menegaskan bahawa pelbagai usaha dilaksanakan bagi memastikan pesakit terus mendapat akses kepada rawatan kesihatan.
“Bantuan pengangkutan ini diberikan berdasarkan jarak perjalanan pesakit dari rumah ke klinik kesihatan, dengan jumlah RM40 bagi jarak minimum dan boleh meningkat sehingga perjalanan sejauh kira-kira 200 kilometer,” jelasnya.
Tambah beliau, kemudahan subsidi tambang tersebut penting bagi memastikan pesakit tidak terlepas temu janji rawatan, khususnya bagi mereka yang berdepan kekangan pengangkutan.
Dalam program tersebut, sebanyak lima isi rumah penerima di bawah Program Akses Kesihatan Sarawak (SHAPE) menerima bantuan bakul makanan dan makanan siap dibungkus.
Program itu turut menjadi platform untuk menyantuni komuniti setempat selain mengeratkan hubungan antara agensi, rakan kerjasama serta sukarelawan yang bersama-sama menjayakan inisiatif kebajikan tersebut.
