KAPIT: Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyerahkan cek sumbangan berjumlah RM315,000 kepada 30 penerima bagi kawasan Parlimen P215 Kapit, hari ini.
Menurutnya, sumbangan tersebut melibatkan pelbagai penerima yang memerlukan sokongan bagi menjayakan aktiviti serta pembangunan komuniti di kawasan berkenaan.
“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu memperkukuhkan pelaksanaan program, aktiviti kemasyarakatan serta inisiatif pembangunan di peringkat akar umbi.
“Saya percaya sokongan seperti ini amat penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus dipelihara, di samping memperkasakan komuniti setempat agar terus maju dan berdaya saing,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan cek tersebut di Kapit, hari ini.
Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir serta sentiasa memberi kerjasama dalam usaha membangunkan kawasan tersebut.
