KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM640 juta untuk meneruskan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang dilancarkan hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak membelanjakan RM480.2 juta untuk melaksanakan program SKAS pada tahun pertama pada 2025.
Bantuan itu disalurkan kepada lebih 888,000 penerima yang layak terdiri daripada isi rumah, warga emas dan bujang.
“Melihat kepada impak positif pemberian SKAS ini pada tahun lalu yang banyak membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat maka, tahun ini, sekali lagi saya meluluskan peruntukan berjumlah RM640 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan SKAS 2026, di Bazar Ramadan Stutong, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata tahun ini, beliau turut bersetuju menambah nilai bantuan daripada RM800 ke RM950 bagi kategori isi rumah, RM400 meningkat kepada RM500 bagi kategori warga emas dan RM250 meningkat kepada RM300 bagi kategori bujang.
Sementara itu menurut kenyataan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Premier Sarawak, tahun ini seramai 857,814 orang layak menerima bantuan SKAS berdasarkan data penerima Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 2026.
Daripada jumlah tersebut seramai 395,802 orang terdiri daripada kategori isi rumah, 335,591 orang daripada kategori bujang dan 126,421 orang warga emas tanpa pasangan.
Bantuan SKAS ini akan disalurkan kepada penerima dalam tiga peringkat iaitu pada 10 Mac, Mei dan November depan dengan penyaluran SKAS akan diteruskan melalui S Pay Global bagi pembelian barangan makanan asas di 2,249 pasar raya/kedai yang mengambil bahagian.
Sehingga 4 Mac 2026, 785,515 atau 91.5% penerima SKAS 2026 mendaftar S Pay Global dan semakan kelayakan SKAS 2026 boleh dibuat bermula 7 Mac 2026 di laman web https://www.sarawak.gov.my/skas.
