KUCHING: Syarikat Ma Hung sekali lagi meneruskan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka apabila menyumbangkan 200 peket beras (5kg) dan 200 peket gula di Kampung Tabuan Dani di sini, hari ini.
Merupakan tahun kedua penganjuran, program kali ini diagihkan kepada golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan.
Pengarah Ma Hung Food Stuff Sdn. Bhd, Datuk Tay Yung Hock berkata, mereka meneruskan tradisi CSR ini memandangkan kehadiran Ramadan adalah waktu terbaik untuk semua pihak saling membantu.
“Ia juga dapat mengukuhkan silaturahim sesama kita tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan agihan bakul makanan di Surau Darul Hasanah Kampung Tabuan Dani di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Tay, Datin Grace Toh, Setiausaha Politik YAB Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Rauf dan Ketua Ranting PBB Ranting Samajaya, Datuk Dr Paruwadi Musa.
