Projek Jambatan Sungai Paku bantu tingkatkan kemudahan perhubungan penduduk

SPAOH: Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mengadakan lawatan tapak bagi meninjau kemajuan projek pembinaan Jambatan Sungai Paku di Jalan Tanjung Sebekut, Spaoh, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban hadir bersama pegawai daripada beberapa agensi berkaitan bagi melihat sendiri perkembangan projek infrastruktur tersebut.

Projek pembinaan jambatan berkenaan melibatkan kos sebanyak RM36.9 juta dan diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong selaku Pegawai Penguasa.

Bagi pelaksanaan projek itu, Janje Consulting Engineer dilantik sebagai perunding projek manakala DAL Keluarga Realty Sdn Bhd bertindak sebagai kontraktor pelaksana.

Pembinaan Jambatan Sungai Paku dijangka memberi manfaat kepada penduduk khususnya dari segi meningkatkan kemudahan perhubungan, keselamatan pengguna jalan raya serta merancakkan lagi pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar sekitar Spaoh dan Bahagian Betong.