Pemerkasaan wanita tunjang pembangunan mampan Sarawak

MIRI: Pemerkasaan wanita bukan sekadar isu wanita semata-mata, tetapi merupakan agenda pembangunan penting bagi memastikan masa depan Sarawak lebih mampan dan inklusif.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, apabila wanita diberi akses kepada peluang, pendidikan dan sokongan yang mencukupi, masyarakat akan memperoleh manfaat melalui keluarga yang lebih kukuh, komuniti yang lebih stabil serta pembangunan yang lebih progresif.

“Apabila kita memberikan wanita pendidikan dan sokongan, kita memperoleh keluarga yang lebih kukuh dan komuniti yang lebih kental.

“Apabila kita memberikan wanita suara, kita memperoleh kemajuan buat Sarawak,” katanya semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2026 di Borneo Medical Centre Miri hari ini.

Program yang berlangsung di lobi hospital tersebut dianjurkan oleh Borneo Medical Centre dengan kerjasama Women Empowerment & Professional Society (WEPS) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menurut Rosey, wanita masa kini berdepan pelbagai cabaran kompleks termasuk peningkatan isu kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung, tekanan ekonomi terhadap ibu bekerja serta cabaran keselamatan dan kesejahteraan digital.

Justeru, beliau menekankan bahawa kesihatan wanita perlu terus diberi keutamaan, bukan sahaja dari segi penjagaan materniti tetapi juga melibatkan saringan kesihatan awal, sokongan kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif serta pengurusan penyakit kronik.