ADUN Satok meriahkan program agihan bubur lambuk

KUCHING: Sebanyak 1,500 pek bubur lambuk diagihkan kepada masyarakat di kawasan Satok sempena program Pengagihan Bubur Lambuk N8 Satok di Jambatan Datuk Amar Juma’ani di sini, hari ini.

Pengagihan bubur lambuk disempurnakan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat N8 Satok melalui Biro Agama dengan kerjasama Rumpun Silat Sarawak (RSS) Wilayah Kuching, Frontliner Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N8 Satok.

Ia bertujuan menyantuni masyarakat, di samping memperkukuhkan semangat ukhuwah, kerjasama dan perpaduan antara pelbagai organisasi masyarakat, agensi keselamatan serta sukarelawan yang terlibat sepanjang bulan Ramadan.

Penyediaan bubur lambuk tersebut dilaksanakan secara gotong-royong yang melibatkan kira-kira 50 orang sukarelawan daripada semua organisasi penganjur.

Penglibatan ramai pihak memperlihatkan kerjasama dan semangat kebersamaan utuh komuniti di kawasan DUN Satok sekali gus mengimarahkan lagi sambutan Ramadan di konstituensi tersebut.