SEBUYAU: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) meneruskan usahanya menyantuni masyarakat dengan menganjurkan Program Ziarah Ramadan dan Tanggungjawab Sosial di Masjid An -Nur Kampung Tebelu di sini.
Simbolik penyampaian disempurnakan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi semasa program itu hari ini.
Sebagai tanda keprihatinan kepada masyarakat, turut diadakan penyampaian bakul makanan kepada 70 penerima.
Inisiatif ini diharap dapat membawa keceriaan dan membantu penerima dalam persiapan menyambut Hari Raya.
Selain itu, seramai 30 kanak-kanak turut menerima duit raya sebagai tanda kegembiraan dan penghargaan sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Turut diadakan agihan bubur pedas kepada para hadirin sebagai simbolik perkongsian rezeki dan usaha mengimarahkan bulan Ramadan dalam kalangan masyarakat setempat.
Turut hadir bersama program Pengarah Bekalan Elektrik, MUT Sarawak Randie Abdullah, Naib Presiden Kanan, Kontrak & Perolehan, Sarawak Energy Berhad Yusri Safri, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, wakil Residen Bahagian Samarahan Anuarbin Daan, Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan, MUT Sarawak Raduan Bujet, Pengurus Besar Corporate Stakeholder Management, Sarawak Energy Ahadiah Zamhari, Pemanca Asli Yahya dan penerima.
