SIBU: Sarawak mencatatkan skor tertinggi bagi Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mengikut pecahan wilayah, sekali gus mencerminkan tahap perpaduan masyarakat yang kukuh di negeri itu.
Menteri Perpaduan, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, laporan IPNas yang dikeluarkan baru-baru ini merupakan kajian kali ketiga dilaksanakan bagi mengukur tahap perpaduan rakyat di negara ini.
“Sarawak merekodkan pencapaian tertinggi berbanding tiga wilayah lain, namun jika dibandingkan mengikut negeri, Pahang mencatatkan skor lebih tinggi manakala Sarawak berada di kedudukan ketiga,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini hari ini.
Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit itu berkata, program berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta komuniti setempat termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Bahagian Sibu.
Menurutnya, lebih 5,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada pengunjung.
Tambah beliau, program tahunan itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum melalui aktiviti gotong-royong dan kebersamaan komuniti.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim.
