PEKEMA Sarawak bantu anak asnaf, anak yatim beli kelengkapan Aidilfitri

KUCHING: Seramai 100 orang terdiri daripada anak asnaf dan anak yatim diraikan melalui ‘Shopping Raya’ Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak Bersama Anak-Anak Asnaf di sini, hari ini.

Menerusi program tersebut, anak-anak terbabit menerima baucar membeli-belah di AEON bernilai RM240 seorang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri merasmikan program terbabit di pusat beli-belah AEON sekali gus mengiringi anak-anak berkenaan membeli-belah.

Beliau berkata, sebahagian anak-anak itu dikenal pasti melalui kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ia bagi membolehkan mereka memilih sendiri kelengkapan Aidilfitri,” katanya semasa menyempurnakan program berkenaan.

Menurut Nancy pendekatan seperti ini amat bermakna kerana anak-anak bukan sahaja menerima bantuan, malah berpeluang memilih sendiri pakaian atau keperluan raya mereka.

“Saya percaya usaha seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga penjaga, malah memberi kegembiraan kepada anak-anak,” katanya.

Beliau yang menghargai inisiatif PEKEMA itu menambahkata, aktiviti tahunan PEKEMA itu sebagai berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

Penerima terbabit dari Tanjung Bako, kawasan Matang dan sekitar Kuching.

Sementara itu, Presiden PEKEMA Sarawak, Dato Ismail Abang Saufi berkata program itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PEKEMA sejak lima tahun lalu.

“Kami (PEKEMA) mahu kanak-kanak ini merasakan pengalaman manis mereka semasa membeli- belah keperluan raya sekali gus memberi kegembiraan.

“Kami terus komited melaksanakan program kebajikan di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama Naib Presiden PEKEMA Malaysia, Raja Petra Maruddin Raja Noordin, Timbalan Presiden PEKEMA Sarawak, Dato Tapah Ata dan pengurusan PEKEMA Sarawak.