Pengagihan kerusi DUN perlu ambil kira keunikan Sarawak

KUCHING: Sebarang cadangan penambahan atau pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu mengambil kira keunikan demografi serta kepelbagaian etnik di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap komuniti mempunyai ruang representasi sewajarnya dalam sistem pentadbiran dan proses pembuatan dasar.

“Sarawak mempunyai masyarakat berbilang kaum termasuk Melayu, Iban, Bidayuh Dan Cina selain pelbagai etnik di pedalaman seperti Kelabit dan Kenyah yang turut menjadi sebahagian daripada identiti negeri ini.

“Apabila kerusi dibahagikan atau diagihkan, pastikan setiap kaum diwakili secara adil dan seimbang. Perkara ini sama ada melibatkan masyarakat Melayu, Iban dan Bidayuh.

“Bagi kaum Bidayuh sendiri, terdapat beberapa subetnik misalan Bidayuh Salako juga perlu diambil kira bergantung kepada kawasan mereka.

“Apabila sesuatu kawasan telah dikenal pasti dan diperuntukkan, perkara paling penting ialah memastikan kawasan tersebut mampu mewakili semua komuniti yang ada. Masyarakat Cina juga tidak terkecuali kerana setiap kaum memerlukan wakil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program ‘Shopping Raya PEKEMA Sarawak Bersama Anak-Anak Asnaf’ di sini hari ini.

Ahli Parlimen Santubong itu menambah, pendekatan tersebut pernah dilaksanakan oleh mantan Ketua Menteri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, yang memastikan pengagihan kawasan dan kerusi dilakukan secara seimbang agar setiap kumpulan etnik mempunyai wakil.

Dalam masa sama, beliau menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa Sarawak menuntut terlalu banyak dalam perkara tersebut.

“Sarawak bukan meminta lebih, sebaliknya kita hanya memohon apa yang wajar bagi memudahkan pentadbiran kerana kita mempunyai hak dan berharap ia dapat dipertimbangkan secara adil dan saksama,” tegasnya.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang menyaksikan pertambahan 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99 kerusi DUN.