Peranan masyarakat kenal pasti golongan memerlukan bantuan

KUCHING: Masyarakat harus memainkan peranan aktif dalam mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kerjasama erat antara pemimpin dan masyarakat harus diperkukuhkan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Usaha tersebut merangkumi individu yang berdepan masalah kewangan, kesihatan serta mereka yang memerlukan sokongan dalam aspek pendidikan dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Bagi Asnaf anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita/Matang 2026 di , hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 345 asnaf menerima sumbangan melibatkan beberapa kawasan termasuk Kampung Pinang Jawa, Kampung Gita Lama dan Sungai Maong, Kampung Gita Tengah, Kampung Gita Laut dan Sri Melati, Kampung Gita Baru dan Maple Village, Taman Gita Jaya, Taman Fitrah, Taman Rose, Taman Foong Joon, Matang Batu 2½ serta Laruh Scheme.

Pada masa sama, Fadillah turut menggesa masyarakat agar menyokong program yang mampu menjana pendapatan dan memperkukuh kebajikan penduduk tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

“Jika sesuatu program hanya dirancang oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tanpa penyertaan penduduk, ia tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan kepimpinan setempat bagi mempertingkat pembangunan sosioekonomi masyarakat, termasuk membantu anak-anak dalam bidang pendidikan serta menyokong usahawan kecil memulakan perniagaan.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato’ Dr. Zaiedi Suhaili.

Dalam perkembangan sama, beliau menjemput orang ramai menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitrinya yang akan diadakan di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada Ahad (Hari Raya ketiga, jika Hari Raya jatuh pada 20 Mac ini mulai jam 10 pagi hingga 4 petang.