MATU: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 59 surau dan masjid di kawasan Parlimen Igan pada majlis yang berlangsung di Dewan Terbuka Tian, Matu, semalam.
Sumbangan tersebut sebagai usaha berterusan membantu pengimarahan institusi tersebut, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Dalam ucapannya, beliau menyaran umat Islam agar terus meningkatkan amalan sepanjang bulan yang mulia ini dengan penuh keimanan dan keikhlasan.
“Saya berharap apa yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini diterima Allah SWT,” katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan acara berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah bersama para hadirin.
Pada majlis sama, golongan asnaf dari Kampung Tian turut menerima sumbangan bakul makanan bagi membantu meringankan beban di bulan Ramadan dan persiapan Aidilfitri.
Program tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh peranan masjid dan surau sebagai pusat ibadah serta penyatuan masyarakat di Parlimen Igan.
