Belia, Pemuda Prihatin Petra Jaya agihkan lebih 800 bekas bubur, air botol kopi Hainan, bakul makanan

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Belia di tiga cawangan dalam kawasan Parlimen Petra Jaya mengambil inisiatif menganjurkan program Belia dan Pemuda Prihatin Petra Jaya di sini, hari ini.

Tiga cawangan tersebut ialah N6 Tupong, N7 Semariang dan N8 Satok bergabung tenaga menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada masyarakat di ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Program julung kali diadakan itu disertai 150 orang terdiri daripada Pergerakan Pemuda dan Belia Parti PBB dalam kawasan Parlimen Petra Jaya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof bersama Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) yang juga ADUN Satok, Datuk Ibrahim Baki merasmikan program tersebut yang berlangsung di pekarangan Masjid Al-Hakim Kampung Muda Hashim di sini. Mereka kemudian mengagihkan bubur lambuk dan air botol kepada pengguna di Jalan Muda Hasim sebagai acara simbolik.

Dianggarkan 800 hingga 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan, air botol kopi Hainan selain bakul makanan kepada belia pemuda yang terdiri daripada 20 penghantar makanan di ketiga-tiga cawangan tersebut.

Selain itu, konvoi bermotosikal terdiri daripada belia dan pemuda mengagihkan 100 bakul makanan rumah ke rumah ke tiga DUN berkenaan.