Iftar Perdana Masjid Darul Firdaus Sibu kukuhkan ukhuwah Ramadan

SIBU: Program Iftar Perdana di Masjid Darul Firdaus di sini, berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan keberkatan sempena bulan Ramadan.

Program itu menghimpunkan jemaah, pemimpin masyarakat serta penyumbang yang bersama-sama memeriahkan majlis berbuka puasa di masjid berkenaan.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.54 Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.

Pengerusi Masjid Darul Firdaus, Junaidi Mohamad Mokhtar, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan bagi menjayakan program tersebut.

Turut hadir Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Sibu, Melvin Chambai Gurang; wakil Head of Business Unit Retus, Tradewinds Plantation Berhad, Azam Razali Atan; Naib Presiden Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) Wilayah Sarawak, Halmi Morsili; serta Pengerusi KRT Apollo Deshon, Abang Mohamad Hafiq Abang Kassim.

Dalam majlis tersebut, Azam Razali Atan yang mewakili Tradewinds Plantation Berhad menyampaikan sumbangan kepada Masjid Darul Firdaus, selain menyumbang RM1,000 kepada PERyatim Sibu dan RM1,500 kepada sebuah pusat tahfiz.

Beliau turut menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim, pelajar tahfiz serta golongan asnaf yang hadir.

Selain itu, KRT Apollo Deshon turut menyalurkan bantuan makanan asas dan sumbangan wang tunai kepada golongan asnaf di sekitar Masjid Darul Firdaus.

Sementara itu, Junaidi berharap program seumpama ini memperkukuhkan semangat kebersamaan, memupuk nilai kasih sayang serta mengeratkan hubungan silaturahim.