Abg Johari santuni pusat kebajikan dalam majlis berbuka puasa

KUCHING: Majlis Berbuka Puasa bersama Premier Sarawak meraikan dua pusat kebajikan di bahagian ini menerusi sumbangan dana bagi menyokong kebajikan serta keperluan operasi rumah kebajikan tersebut.

Sumbangan berjumlah keseluruhan RM20,000 itu disampaikan kepada Kompleks Kebajikan Laila Taib (PERYATIM) dan Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching dalam majlis anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS).

Majlis diadakan di The Waterfront Hotel di sini, diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut menyampaikan sumbangan berjumlah kepada kedua-dua pusat kebajikan tersebut.

Selain itu, seramai 40 kanak-kanak daripada kedua-dua institusi berkenaan, masing-masing 20 orang, turut diraikan dan menerima sumbangan duit raya pada majlis sama sebagai simbolik keprihatinan terhadap golongan memerlukan sempena bulan Ramadan.

Majlis yang menghimpunkan lebih 400 tetamu itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara kepimpinan kerajaan, agensi strategik serta rakan industri di Sarawak.

Antara yang hadir ialah Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir. Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif DBOS, Datu Laura Lee Ngien Hion.

Turut hadir ahli lembaga pengarah, ketua jabatan dan kakitangan daripada SDEC, CENTEXS dan DBOS selain wakil kementerian, jabatan serta agensi Kerajaan Sarawak.