KUCHING: Menjelang musim perayaan, khususnya pada bulan Ramadan, golongan kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan tidak seharusnya dipinggirkan dalam meraikan sambutan Aidilfitri.
Prihatin dengan nasib golongan tersebut, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga mengambil inisiatif menganjurkan program sumbangan kepada anak-anak yatim bagi membantu menceriakan sambutan Aidilfitri mereka.
Persatuan Amal Sahabat Sego Kuching, Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N8 Satok dengan kerjasama YUCCA Asian Fusion menyantuni penghuni Kompleks Kebajikan Laila Taib (PERYATIM) Kuching dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Duit Raya di YUCCA Asian Fusion,Jalan Depo di sini, malam tadi.
Turut sama menyumbang kelab golf dan rakan-rakan dari persatuan berkenaan.
Menurut Presiden Persatuan Amal Sahabat Sego Kuching, Nazrul Hayat Ahmad, program berkenaan diadakan sebagai usaha meringankan beban serta memberi kegembiraan kepada kanak-kanak yang memerlukan melalui sumbangan duit Raya dan sebagainya.
Menerusi program itu katanya, seramai 55 anak-anak PERYATIM Kuching diraikan dalam majlis tersebut dan menerima sumbangan duit Raya.
“Kita berterima kasih kepada semua mereka yang turut sama melancarkan program ini termasuk
petinju negara, Daeloniel Mcdelon atau ‘Kilat Boy’ serta rakan-rakan lain yang turut sama menyumbang,” katanya pada majlis tersebut, malam tadi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) PERYATIM Sarawak, Noor Syazrin Sajali menzahirkan terima kasih kepada penganjur atas sumbangan kepada anak-anak yatim.
“Ia memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat agar sentiasa membantu golongan kurang bernasib baik,” katanya.
Manakala, Abang Muhammad Syafiq dari Belia Parti PBB Satok berharap usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan sokongan pelbagai pihak supaya lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan dapat dibantu dan menikmati kemeriahan Aidilfitri seperti orang lain.
