Pelbagai inisiatif dilaksana demi kesejahteraan warga emas

KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan warga emas di negeri ini terbela menerusi pelbagai inisiatif sokongan sosial yang inklusif.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata usaha tersebut selari aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa kesejahteraan komuniti tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Iftar Ramadan Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching di Dewan Serbaguna institusi berkenaan, hari ini.

Program itu turut dihadiri warga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) serta komuniti dalam suasana penuh ukhuwah dan semangat kebersamaan.

Menurut Mohammad Razi, RSK Kuching kini menempatkan seramai 86 penghuni, termasuk 24 penghuni beragama Islam yang diraikan secara khusus dalam majlis berbuka puasa tersebut.

Beliau berkata, program menjadi simbolik peranan JKMS dalam menyantuni penghuni RSK selain mengingatkan masyarakat mengenai tanggungjawab sosial untuk terus membantu golongan memerlukan, khususnya warga emas.

Turut disampaikan bantuan kewangan kepada penghuni bagi menyambut Aidilfitri dan mengeratkan hubungan antara penganjur, keluarga dan komuniti.