Inisiatif SKAS bukti keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap rakyat

DARO: Pelaksanaan Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang dilancar di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro hari ini dilihat mampu membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak itu membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah berdepan peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, bantuan SKAS disalur dalam bentuk baucar digital melalui aplikasi S Pay Global yang boleh digunakan oleh penerima untuk membeli barangan keperluan asas di premis yang menerima pembayaran melalui aplikasi berkenaan.

“Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat. Melalui inisiatif SKAS ini, kita berharap ia dapat membantu meringankan perbelanjaan harian keluarga, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran SKAS 2026 peringkat DUN Daro, di sini hari ini.

Dr Safiee berkata, bagi tahun 2026, jumlah bantuan SKAS ditingkatkan berbanding tahun sebelumnya dengan penerima kategori isi rumah menerima RM950, warga emas RM500, manakala bujang RM300.

Katanya, penyaluran bantuan tersebut dilaksanakan secara berperingkat bermula 10 Mac 2026 melalui dompet digital S Pay Global kepada penerima yang layak.

“Kerajaan berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan asas bagi keperluan keluarga,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak swasta serta komuniti setempat yang bekerjasama memastikan pelaksanaan program tersebut berjalan lancar.