JBPM Sarawak tingkat kesiapsiagaan hadapi perubahan iklim, jerebu

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko perubahan iklim dan jerebu yang boleh menjejaskan operasi serta keselamatan masyarakat.

Pengarah JBPM Sarawak, Penguasa Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Jamri Masran berkata, perubahan pola cuaca, hujan lebat, banjir, ribut serta cuaca panas dan kering kini memberi kesan langsung terhadap risiko bencana di Sarawak.

“Perubahan iklim bukan lagi isu yang jauh daripada kita. Kesannya semakin dirasai melalui perubahan pola cuaca, hujan lebat, banjir, ribut, cuaca panas dan kering serta peningkatan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan Ogos 2026 JBPM Sarawak, di sini, hari ini.

Menurut beliau, keadaan panas dan kering berpotensi meningkatkan kejadian kebakaran vegetasi serta tanah gambut.

Manakala, jerebu pula boleh menjejaskan kualiti udara, kesihatan awam dan operasi bomba akibat jarak penglihatan terhad serta pergerakan jentera.

Pada hari sama, JBPM Sarawak mengadakan sesi libat urus pengurusan tertinggi bersama warga kerja Zon Satu yang dipimpin Jamri bersama Penolong-penolong Pengarah Bahagian dan Seksyen Kejuruteraan dan Jentera bagi mengenal pasti isu, cabaran serta keperluan anggota di lapangan.

Jamri berkata, kesiapsiagaan dan pemantauan perlu ditingkatkan ketika cuaca ekstrem, selain tindakan awal berdasarkan keadaan semasa bagi mengurangkan risiko kebakaran terbuka.

“Jerebu bukan sahaja menjejaskan kualiti udara dan kesihatan masyarakat, malah boleh memberikan kesan kepada operasi pasukan bomba, khususnya dari segi jarak penglihatan, pergerakan jentera dan risiko kebakaran terbuka,” tambahnya.

Dalam masa sama, JBPM Sarawak menggalakkan pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai bahaya pembakaran terbuka, selain memastikan kompetensi anggota, peralatan dan teknologi sentiasa disesuaikan dengan risiko bencana yang semakin kompleks.