Kurangkan aktiviti luar rumah, guna pelitup muka – Uggah

KUCHING: Orang ramai dinasihatkan supaya
mengurangkan aktiviti di luar rumah berikutan bacaan kualiti udara berada pada tahap Tidak Sihat atau lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mereka juga dinasihatkan mengelakkan aktiviti fizikal lasak dan aktiviti sukan di luar sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, ini terutama golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau jantung dan hendaklah mengehadkan pendedahan kepada udara tercemar.

“Sekiranya perlu berada di luar, orang awam digalakkan menggunakan pelitup muka yang bersesuaian bagi mengurangkan pendedahan
kepada partikel udara tercemar,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Uggah sehubungan itu menasihatkan orang ramai mengawal pengudaraan di dalam bangunan serta menutup pintu dan tingkap sekiranya keadaan kualiti udara di luar semakin tercemar.

“Sentiasa memantau bacaan kualiti udara semasa melalui sumber rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” tambahnya.

Uggah berkata, sebarang aktiviti pembakaran terbuka adalah dilarang dan segera laporkan sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa.

Di samping itu, orang awam juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahih dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini daripada saluran rasmi kerajaan.