Pemuda Parti PBB buat laporan polis video hina bendera

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak tampil membuat laporan polis berhubung penularan satu video di media sosial yang didakwa menghina bendera Sarawak dengan memijaknya.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Penolong Bendahari Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Pergerakan Pemuda, Afiq Fikri Brahim berkata, tindakan individu tersebut dipandang serius kerana boleh menjejaskan keharmonian, keamanan dan perpaduan rakyat Sarawak.

Tegasnya, laporan dibuat dengan disertai kira-kira 40 Pergerakan Pemuda, termasuk exco serta Ketua Pemuda kawasan Kuching dan Samarahan.

“Kami menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap video berkenaan.

“Kami juga harap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya jika didapati melakukan kesalahan,” katanya semasa ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Maong, di sini, malam ini.

Menurutnya, bendera Sarawak merupakan lambang jati diri rakyat negeri ini dan sebarang tindakan menghina atau memijaknya tidak boleh diterima.

Beliau turut berharap PDRM menjalankan siasatan secara menyeluruh, manakala sebarang tindakan undang-undang diserahkan kepada pihak berkuasa untuk ditentukan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Tambahnya, beberapa lagi laporan polis akan menyusul yang dibuat oleh wakil Pemuda Parti PBB dari bahagian-bahagian lain di negeri ini.

Sementara itu, Setiausaha Pergerakan Pemuda Parti PBB merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan menegaskan, mana – mana negeri akan mengecam sekerasnya perbuatan menghina bendera negeri mereka.

“Tindakan individu di dalam video tersebut memijak bendera Sarawak adalah tidak wajar dan sangat biadap,” ujarnya.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Ir. Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie dan wakil – wakil Pemuda bahagian Kuching dan Samarahan. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI