UKPS buat laporan polis, susulan penularan video pijak bendera Sarawak

KUCHING: Satu laporan polis dibuat susulan penularan video TikTok yang memaparkan seorang individu memijak bendera Sarawak.

Laporan dibuat Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abdul Wahab Rahim, di Balai Polis Gita, jam 1.49 petang hari ini.

“Perbuatan individu tersebut adalah amat tidak wajar dan biadap ke atas lambang kebanggaan sesebuah negeri,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Abdul Wahab berkata, rakaman berkenaan dikesan melalui aplikasi WhatsApp kira-kira jam 10 pagi ketika beliau berada di pejabat UKPS di Tingkat Enam, Bangunan Baitul Makmur Dua (MASJA II), Petra Jaya.

Menurutnya, perbuatan tersebut berpotensi menimbulkan kemarahan atau kegusaran dalam kalangan rakyat Sarawak sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Pihak UKPS memohon polis menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang terlibat di bawah mana-mana perundangan yang berkenaan demi memelihara ketenteraman dan keharmonian Sarawak,” tambahnya.