KUCHING: Sarawak mengetengahkan keunikan alam semula jadi, budaya dan gastronomi Borneo sebagai tarikan utama pelancongan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penganjuran Majlis Makan Malam Gala Soul of Borneo 2026 turut menjadi platform memperkenalkan Sarawak kepada delegasi antarabangsa.
“Sambutan bersejarah ini diadakan di Sarawak, di Pulau Borneo, buat pertama kalinya dalam sejarah PATA,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam Gala Soul of Borneo 2026, di sini, malam tadi.
Menurutnya, Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia dengan keluasan kira-kira 740,000 kilometer (km) persegi, manakala sekitar 487,000 km persegi masih diliputi hutan hujan tropika.
Beliau berkata, Sarawak mempunyai keluasan kira-kira 124,000 km persegi dengan sekitar 62 peratus kawasannya masih diliputi hutan.
Abang Johari menjelaskan, hubungan rapat masyarakat dengan alam turut tercermin dalam budaya, tarian dan kehidupan pelbagai etnik di Sarawak yang hidup dalam keharmonian.
“Sebab itu kita melihat Sarawak sebagai ‘Soul of Borneo’, jiwa Borneo dan jiwa alam semula jadi,” tambahnya.
Beliau berkata, Sarawak turut memiliki beberapa pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) termasuk Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Niah, Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi serta Kuching Delta Geopark.
Dalam sektor tenaga, Sarawak memberi tumpuan kepada sumber boleh diperbaharui termasuk hidro, solar dan biojisim, selain membangunkan sistem pengangkutan awam Sistem Transit Aliran Bebas Automatik (ART) berkuasa hidrogen.
Pada masa sama, AirBorneo yang baharu dilancarkan akan dibangunkan secara berperingkat bagi menghubungkan Sarawak dengan destinasi utama di Asia, termasuk cadangan hubungan dengan Korea melalui Pulau Jeju.
Beliau berharap pengiktirafan, kekayaan alam, budaya dan kemudahan baharu yang dimiliki Sarawak dapat dikongsi bersama masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada identiti ‘Soul of Borneo’. – AYLA MEDINA
